Sunday, May 9, 2010

Polis tembak semborono lagi...????

Hari ini di dada akhbar terpampang berita tentang seorang anggota polis digantung tugas kerana menembak seorang remaja yang melarikan diri apabila dikejar oleh anggota polis terbabit. Sesungguh aku bersimpati terhadap remaja itu tadi. Tetapi aku lebih bersimpati terhadap anggota polis yang menembak remaja itu. Iyalah, dalam usaha menegakkan undang-undang tetapi memakan diri sendiri kerana, mungkin kurang pengalaman, mungkin kerana kebimbangan, mungkin kerana keinginan dan berbagai kemungkinan lagi. Kalau kurang pengalaman, apakah perlu dibuat peraturan yang baru seperti anggota polis yang baru bertugas tidak dibenarkan membawa pistol, sebaliknya bawa hanya bawa cota sahaja atau alat perenjat elektrik sahaja?

Aku bukannya nak komen apa tentang insiden ini dan insiden yang terdahulu (remaja maut ditembak polis), cuma nak ajak kita semua berfikir, berfikir dan berfikir. Orang yang melarikan diri daripada polis adalah orang yang mempunyai kesalahan. Dia tahu dia buat salah, sebab itu dia lari. Dan polis pula beranggapan, orang yang melarikan diri daripada polis adalah orang yang sedang melakukan kesalahan. Dan kemungkinan mereka ini penjenayah yang berbahaya.

Jadi, jika kita sebagai polis adakah kita perlu ditembak dahulu sebelum menembak? Adakah perlu kita dilanggar dahulu baru nak membalas? Aku rasa di sinilah, keadaan seperti inilah yang perlu difikirkan. Apakah polis perlu menunggu tindakan penjenayah baru boleh bertindak balas?
Pada pandangan aku, tindakan remaja yang melarikan diri daripada polis itulah yang mendorong kejadian tersebut. Kalau remaja itu tidak melarikan diri adakah sewenang-wenangnya polis akan menembaknya? Bukan untuk memenangkan atau mempertahankan anggota polis tersebut, cuma pada aku, jangan terlalu ingin mencari salah polis sampai tidak nampak kesalahan remaja tersebut.

Walaupun tindakan polis tersebut mungkin dilihat tidak berpadanan dengan kesalahan siremaja itu, tetapi tindakan remaja itu yang melarikan diri daripada polis boleh dilihat sebagai satu dorongan yang menyebabkan dia tertembak. Kes ini wajar diambil pengajaran oleh semua pihak. Bagi pihak orang awam, bila terserempak dengan polis, jangan lari, kalau lari maknanya anda adalah penjenayah tegar. Dan bagi pihak polis, perlu lebih berhati-hati dalam mengendalikan sesuatu keadaan yang genting.

Apa pun, peranan anggota polis amat penting dalam menangani keselamatan kita rakyat Malaysia.

No comments: